Kerjasama USM dan UPSI Untuk Internet Masa Hadapan

Kerjasama USM dan UPSI Untuk Internet Masa Hadapan

TANJUNG MALIM, PERAK, 16 Mei 2017 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat IPv6 Termaju Negara (NAv6) telah menjalin kerjasama dengan Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk membuka peluang berkongsi kepakaran dan kolaborasi projek kerjasama antarabangsa dalam bidang Future Internet atau internet masa hadapan.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, USM dan UPSI perlu untuk co-learn kerana masing-masing mempunyai kepakaran dan kekuatan tersendiri.

“Saya berharap kolaborasi ini menjadi titik tolak kepada lebih banyak jalinan kerjasama dengan UPSI dalam apa bidang sekalipun,” kata Asma di majlis penandatanganan Memorandum Persefahaman antara USM dan UPSI di sini hari ini.

“Tambah pula, di UPSI ini mereka bukan sekadar mendidik bakal guru tetapi lebih kepada melahir dan memimpin pendidik masa hadapan,” tambah Asma.

Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran menyambut baik jalinan kerjasama ini dan berharap kedua-dua institusi menerima manfaat serta dapat dipanjangkan kepada para pelajar dan graduan.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Profesor Dato’ Dr. Noraini Idris; Pendaftar UPSI, Mohd Fairus Othman; Dekan Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif UPSI, Dr. Maizatul Hayati Mohamad Yatim dan Pemangku Pengarah Pusat NAv6 USM, Profesor Madya Dr. Wan Tat Chee.

Adaptasi daripada teks asal Nor Rafizah Md Zain (news.usm.my)/ Foto: Mohd Fairus Md Isa

Categories: News